Pages

Nov 7, 2008

"Bertaubatlah....."

Bismillahirrahmanirrahim.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Duhai sahabat-sahabat ku sekalian.

Adakah anda sekalian berasa susah hati dan resah dengan segala dosa-dosa yang telah anda lakukan kepada Allah. Jika masih ada perasaan sedemikian maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah masih lagi kasih dan sayang terhadap diri mu. Jika tidak DIA tidak akan mencampakkan perasaan yang gusar, bimbang, dan gelisah itu kedalam hati mu sesudah kamu melakukan maksiat. Sebab apa? Sebab dengan perasaan demikian ia akan memudahkan kamu untuk kembali menangis dan bertaubat kepada-NYA. Ketahuilah bahawasanya Allah suka kepada orang yang bertaubat kepada-NYA.

Dihikayatkan bahawa pada zaman Nabi Musa a.s. ada seorang lelaki tidak pernah membetulkan dirinya setelah dia bertaubat kepada Allah. Setelah ia bertaubat, lalu ia merosakkan taubatnya dengan dengan melakukan dosanya lagi. Hal ini telah berterusan selama 20 tahun, maka Allah Ta’ala pun mewahyukan kepada Nabi Musa a.s. :

“ Wahai Musa! Sampaikan berita kepada hambaKu itu bahawa Aku murka kepadanya“

Musa a.s. pun menyampaikan berita itu, maka lelaki itu sangat menyesali dirinya, dia pun pergi ke padang pasir lalu mengangkat kedua belah tangannya sambil berkata :

“Wahai Tuhanku! Apakah sudah habis rahmatMu, ataupun barangkali maksiat ku telah membahayakanMu? Ataupun perbendaharaanMu sudah kosong, atau Engkau lokek terhadap hamba-hambMu? Mana satu dosa yang dikira lebih besar bila ditimbang dengan pengampunanMu?sedang kemurahan hati itu adalah daripada sifat-sifatMu yang qadim dan celaan daripada sifat-sifatku yang hadits. Apakah sifat-sifatku yang buruk ini dapat mengalahkan sifat-sifatMu yang yang mulia? Seandainya Engkau menahan rahmatMu daripada hamba-hambaMu, kepada siapa lagi mereka akan mengharapkan sesuatu, dan jika Engkau menutup pintu taubatMu, maka kepada siapa lagi mereka pergi untuk memohon? Tuhanku! Andai rahmatMu sudah tiada lagi dan semestinya Engkau menyiksaku, maka longgokkanlah semua dosa-dosa hambaMu untuk aku memikulnya, kerana aku telah menebus diriku untuk mereka sekalian.“

Lalu Alllah pun berfirman :

“ Wahai Musa! Pergilah kepada sang hamba itu dan katakanlah kepadanya : Sekiranya dosa-dosamu memenuhi seluruh bumi sekalipun, nescaya Aku akan mengampunkanmu sesudah engkau mengenalKu sebagai Tuhan yang sempurna qudrat-NYA (kekuasaanNYA), keampunanNYA serta rahmatNYA.

Duhai sahabatku sekalian, nah! Sekarang jangan kamu buang masa lagi dan segera lah bertaubat kepada Allah kerana sesungguhnya rahmat dan pengampunan Allah itu sangat luas. Semoga cerita diatas dapat memberi semangat kepada saya dan sahabat-sahabat sekalian dalam membersihkan diri dari noda-noda dan dosa-dosa yang telah kita lakukan selama ini.

Wallahua’lam.

No comments: