Kahwin? Adakah Anda Bersedia?
Seringkali kita bercakap tentang perkahwinan. Malah, ramai yang mahu berkahwin. Namun, sejauh manakah kita membuat persiapan dalam menuju ke gerbang perkahwinan? Adakah kita telah betul-betul bersedia untuk menghadapinya?
Bercakap tentang persediaan, ramai yang menganggap, persediaan itu sudah semestinya dalam bentuk kewangan dan materialistik semata-mata, seperti duit hantaran, wang belanja pengantin, jamuan dan majlis perkahwinan, bersanding dan sebagainya.
Namun, kita lupa bahawa terdapat banyak persediaan yang perlu kita buat sebenarnya. Dan ia tidaklah hanya kepada keperluan sekadar wang dan majlis pernikahan semata-mata.
Sememangnya, ramai di kalangan kita yang mengakui bahawa mereka sudah bersedia, namun, pada hakikatnya mereka sebenarnya memang tidak bersedia. Bahkan, mereka jahil tentang ilmu selok belok rumah tangga.
Ilmu-ilmu rumahtangga termasuklah persediaan tentang pengurusan kewangan, pengetahuan Agama, ilmu hubungan (nafkah batin) suami-isteri, ilmu hubungan mertua-menantu, ilmu keibuan, ilmu kebapaan, persediaan isteri dalam memasak, ilmu memikat hati suami-isteri, ilmu persediaan sebelum dan semasa mengandung (bagi ibu dan bapa), ilmu mendidik anak-anak, dan sebagainya.
Semua ilmu-ilmu yang di nyatakan di atas hanyalah sebahagian daripada yang dapat saya senaraikan, bahkan, terdapat banyak lagi ilmu-ilmu lain yang masih belum kita terokai sebenarnya.
Sebab itulah, jika kita lihat, orang-orang tua kita dahulu, hidup dengan bahagia walaupun dalam kesusahan dan kedhaifan. Malah, jarang sekali kita dengar kes-kes perceraian di antara mereka. Kenapa? Kerana mereka mempunyai dan mendalami ilmu-ilmu yang saya nyatakan di atas. Bahkan, lebih lagi dari itu.
Orang-orang muda zaman sekarang sudah melupai petua-petua dan ilmu-ilmu orang-orang tua zaman dahulu. Mereka menganggap ilmu tersebut sudah lapuk, kolot dan ketinggalan zaman. Tanggapan inilah sebenarnya adalah salah sama sekali.
Kita terlalu mengagung-agungkan teori dan psychology pendidikan barat dalam membentuk keluarga kita. Namun kita sebenarnya terlepas pandang, bahawa teori-teori dari barat inilah yang membawa bencana dan kemusnahan dalam institusi kekeluargaan. Contohnya, kes perceraian di Negara-negara Barat semakin meningkat setiap tahun dan masalah sosial di kalangan anak-anak semakin teruk dan membimbangkan.
Oleh itu, marilah kita kembali kepada ilmu warisan orang-orang tua kita dahulu dan mengamalkannya di dalam institusi keluarga kita. Cubalah anda cari ilmu tersebut daripada orang-orang tua kita.
InsyaAllah, di pihak saya, saya akan cuba mengupaskan ilmu-ilmu selok belok rumahtangga dalam konteks atau kaca mata orang-orang tua kita pada artikel yang akan datang. Nantikan kemunculannya.
Wallahua’lam
nota :
- Masyarakat sekarang -
Tak boleh kahwin kalu duit tak ada,
Boleh kahwin kalu ilmu agama tak ada.
Tak berapa setuju anak kahwin dgn pak bilal or imam masjid (gaji kecik),
Bagi kahwin dgn contractor or engineer walaupun tak penah solat dan mengaji Quran.
Tak bagi kahwin dgn miskin harta tapi kaya jiwa,
Bagi kahwin kalu kaya harta tapi miskin jiwa.
Tak bagi kahwin masa belajar,
Bagi kahwin bila perut anak pompuan dah membuncit.
Kah kah kah
Kah kah kah
Fikirkanlah…..
Dari Minda Hujjati
No comments:
Post a Comment